Malam itu, lebih kurang pukul 12.00 tengah malam. Aku dan 4 sahabat selamat sampai ke KTM Nilai.. Ada meeting sedikit dengan seorang ini..
Kami mempercepatkan langkah, menghampiri pakcik teksi. Hati masing-masing mengharapkan kami berlima boleh masuk dalam sebuah teksi sahaja bersama-sama tanpa perlu berpecah. Tetapi, pak cik berkata, tidak boleh, risau apa-apa berlaku nanti, berkemungkinan kena tahan dengan ‘pak polisi’..Sudahlah disarankan untuk berpecah, 1 teksi kami perlu membayar RM15 pula. Allahuakbar, takkanlah 1 malam tu kami senang-senang perlu korbankan RM30.. Dalam poket masing-masing, berbaki sedikit sahaja untuk perbelanjaan makan minum lebih kurang 3 hari di kolej kami.. Kami ingin Pak cik faham, kami ini pelajar yang tiada pendapatan lagi, masih fi sabilillah menuntut ilmu.
Salah seorang dari kami mengatakan, ”tokseh...dorang saja nak ambil kesempatan ni..dorang tahu kita tengah terdesak..” Lantas kami berfikir untuk bermalam di surau yang terdapat di kawasan KTM sahaja. Berkunci.
Kami bertanya pula pada seorang pakcik yang menjadi ‘JAGA’ di situ. Hendakkan kepastian, “dekat-dekat kawasan sini ada masjid kan?” Betullah, ada masjid. Kami mempercepatkan langkah pula ke masjid itu. Hampa. Masjid terkunci.. Ada 2 pagar di situ. Jauh antara satu sama lain. “Kalau kita panjat dinding juga, maknanya kita dah dikira menceroboh”, kawanku berkata... Kami cuba usaha menghampiri ke tempat pagar lagi satu. Berkunci juga. Hati bertambah debar..Terdengar anjing menyalak. Kami melihat dekat-dekat situ, terdapat pusat futsal. Ada kereta pula mahu melintasi kami. Kami cepat-cepat menyorok bawah pokok berdekatan..kaca, duri, najis tidak kami pedulikan..
Kami berpatah balik ke pintu pagar lagi satu pada awalnya tadi. Kami nekad. Kami akan panjat dinding. Seorang dari kami, tua setahun dari kami semua mulakan dahulu. Giliran aku pula. Tidak berseluar panjang.. Tapi hati aku yakin mesti boleh! Akhirnya, Alhamdulillah, berjaya! Aku membantu sahabat-sahabat yang lain pula. Ada antara kami memakai jubah. tidak mengapa, bukankah Muslimat itu Power? Fleksibel pada mana-mana situasi. Ucapan Tahmid tak putus-putus terucap.. Kami tidak percaya, malam ini kisah kami begini..
Kami nekad memanjat dinding atas alasan yang 1 ini : Masjid adalah rumah Allah! Kami berhak menjadi tetamunya walaupun dinihari dan kami ini bergelar muslimah.
Kami bersyukur, kami sudah berada pada satu kawasan yang berpagar, dan pastinya Rumah Allah. Harapan kami masing-masing agar kami di dalam jagaan Allah dengan sebaiknya.
Malam itu, kami bermalam di luar masjid sahaja. Alhamdulillah, itu sudah memadai, lebih baik daripada sebelumnya tadi. Kami tidur-tidur ayam sahaja malam itu. Bertemankan langit malam yang suram, mendengar nyalakan anjing dan miauwan kucing.. Gigitan nyamuk juga menjadi tetamu kami malam itu. Di hati masing-masing risau, kami tidak sedar apabila ada orang mula membuka pagar masjid.
Aku terbangun apabila terdengar ada orang membuka pintu pagar. Tergesa aku mengejutkan sahabat yang lain. Kami mempercepatkan langkah. Kami menyorokkan diri di kawasan belakang masjid berdekatan dengan tandas. Mata kami mengantuk, menjerit mahu lelap...
Jam menunjukkan hampir mencecah jam 5 pagi.
Sunyi.
Sepi.
Apabila bacaan Al-Quran mula dikumandangkan melalui pembesar suara, kami terkejut! Apabila Si Qari membaca, “A’uzubillah minas Syaitannir Rajiim...”, terus terdegar nyalakan anjing tidak henti. Pada mulanya tadi yang sunyi sepi.. Tiba-tiba pula anjing menyalak tiada henti.. Kawanku berkata, “anjing kalau nampak syaitan, terus menyalak”. Seram sejuk pula kami...”Tapi, nanti kalau azan, lagi kuat nyalakan anjing tu”..
Kami nekad, kami mahu masuk ke dalam masjid. Mahu Qiamullail. Rugi sungguh kami kalau kami menunggu masa berlalu sehingga azan subuh berkumandang. Kami masuk ke dalam, seolah-olah kami baru sampai di situ. Seorang pakcik bertanya kepada kami, “Dari mana kamu semua ni?” Kami hanya menjawab, kami dari sebuah kolej ini..
Alhamdulillah, sempat juga kami melakukan tahajud..
Tidak lama kemudian, azan subuh berkumandang. Seiring nyalakan anjing tiada henti. Aku hanya sempat memandang sahabat aku tadi. Benarlah katanya sebelum ini.
Kami keluar dari masjid tersebut jam 7 Pagi dengan harapan tidak ketinggalan menaiki bas mini yang hanya mengecas kami RM1 seorang. Pak cik driver tiada dalam bas. Lama juga kami menunggu. Pak cik mencari sarapan paginya, mungkin...
Dalam hati aku pula risau. pukul 8 pagi itu, aku ada mesyuarat penting bersama satu persatuan ini..
Memang terlewat.. Ujian daripada Allah..
Kami terfikir, mengapa ujian ini perlu kami hadapi bukan orang lain? Berfikirlah, lantas kita akan bersyukur atas segala ujian dan cabaranNya..
***********
Sahabat, mesti banyak persepsi anda semua terhadap kisah ini.. Mungkin, antaranya, “Perempuan berjalan malam-malam. Tak manis langsung..” dan mungkin, “tak ada kerja langsung bebudak ni”
Sahabat, mari kita melihat kisah mereka ini dari satu sudut yang positif. Banyak tauladan kita boleh ambil lantas perlu dijadikan iktibar kepada kita semua. Pertama-tamanya, Pengorbanan! Apabila kita berhadapan dengan pelajar yang dalam kesusahan, berkorbanlah sedikit tenaga untuk membantu mereka. Walaupun kita sendiri dalam kesuntukan wang. InsyaAllah, pengorbanan kita untuk membantu mereka yang masih dalam perjuangan menuntut ilmu di jalan Allah, Allah akan membalasnya dengan syurga yang tidak pernah kelihatan di mata, terfikir di akal, terdengar di telinga kita! Kedua, Kesyukuran. Bersyukurlah, kita mendapat tempat berteduh yang selamat, selamat dari gangguan bunyi makhluk lain yang membingitkan, ancaman manusia yang tidak kita kenali..
Terakhirnya, masjid sebagai Rumah Allah.. Cuba bandingkan negara kita dengan negara yang lain. Di mana fungsinya sebagai tempat berteduh kepada para musafir...
Jadilah hamba yang sentiasa mengingati Allah-Penciptamu, wahai insan yang bergelar H.A.M.B.A.. Ucaplah kalimah tasbih, tahmid, & takbir. Seiring dengan zikir alam yang tidak pernah henti memuji Al-Khaliq. Lantas apa lagi alasanmu, duhai ciptaan Allah yang paling agung, gunakanlah akalmu untuk berfikir, lalu berzikir..agar engkau mencapai ketenangan hati.. “..Ketahuilah, bahawa dengan zikir akan Allah, hati menjadi tenang” (ar-Ra’du : 28)
Saturday, 2 July 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment